Panduan Memilih Motorsikal Kegunaan Harian

Akibat kos sara hidup yang semakin meningkat di negara kita ni, semakin banyak perkara yang terpaksa dikorbankan antaranya mod pengangkutan. Ramai antara pengguna kereta yang ingin beralih kepada motorsikal untuk kegunaan harian ke pejabat tapi masih ragu-ragu dalam memilih motorsikal yang bersesuai dengan mereka. Di sini penulis dengan berbesar hati ingin berkongsi sedikit tips hasil pengalaman menjadikan motorsikal sebagai pengangkutan utama selama lebih dari 5 tahun.


Untuk meringkaskan perbandingan, penulis akan mengklasifikasikan 3 jenis motorsikal yang sesuai untuk kegunaan harian dan kelebihan serta kekurangan setiap jenis ini.

ADVERTORIAL
Jenis Sport

+ Prestasi lebih tinggi, dari segi pick up dan top speed.
+ Tangki minyak yang lebih besar, sesuai untuk penjalanan jauh (200-300km)
+ Pengendalian lebih stabil terutama di lebuh raya

-  Harga yang lebih tinggi, sekitar RM7000 ke RM20,000 untuk jenis mampu milik.
-  Kos maintenance yang lebih tinggi, dari segi alat ganti, insurans dan cukai jalan.
-  Kurang kemudahan membawa muatan
-  Sistem transmisi menggunakan klac manual yang tidak diajar di sekolah memandu (untuk lesen B2)
-  Penggunaan bahan api yang ketara lebih tinggi berbanding kapchai, terutama yang berkapasiti 250cc ke atas.

Untuk jenis Sport ini, boleh dibahagi kepada 2 jenis iaitu Naked atau Faired (model ber-fairing) dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Kawasaki Z250SL - review oleh autofreaks.com
Naked

+ Posisi tunggangan yang selesa dengan kedudukan hendal yang tinggi dan posisi badan menegak
+ Pengendalian dalam bandar lebih mudah disebabkan aras penglihatan lebih tinggi
+ Akses ke bahagian enjin yang lebih terbuka, motorsikal nampak gagah (subjektif)
+ Harga sedikit murah dari model berfairing

-  Kurang selesa untuk kelajuan tinggi disebabkan terjahan angin yang kuat di bahagian dada
-  Posisi tunggangan yang tinggi kurang stabil semasa mengambil selekoh
-  Motorsikal nampak kurang cantik pada pandangan masyarakat yang tidak mampu menilai (subjektif)

Kawasaki Ninja 250SL
Faired

+ Posisi tunggangan ke arah sporty, hendal lebih rendah dan posisi alas kaki ke belakang
+ Kurang terjahan angin pada badan penunggang, badan dan lengan direhatkan atas tangki minyak
+ Boleh mencapai kelajuan lebih tinggi dari model naked dan lebih stabil di selekoh
+ Motorsikal nampak ala-ala model Moto GP, jadi tarikan gadis (subjektif)

-  Tidak selesa untuk perjalanan di dalam bandar disebabkan tekanan ke atas pegelangan tangan dan posisi tunggangan membongkok boleh menyebabkan sakit belakang.
-  Harga lebih mahal daripada model naked
-  Lebih sukar untuk maintenance/baik pulih disebabkan fairing perlu dibuka terlebih dahulu (boleh jadi kos upah tambahan)

Untuk model sport ini boleh didapati (sekurang-kurangnya untuk pasaran Malaysia) dari serendah 150cc hingga ke 1400cc. Di sini penulis klasifikasikan mengikut harga dan kapasiti enjin serta populariti motorsikal tersebut di jalanan, dan disebabkan ini untuk tujuan penggunaan harian penulis hadkan pilihan harga kepada RM25,000 berikutan lingkungan harga ini lebih mudah dijangkau oleh rata-rata penunggang motorsikal di Malaysia - tapi kalau nak juga bawa Ducati Monster atau S1000RR ke pejabat pun tiada masalah, bergantung kepada kemampuan dan cita rasa masing-masing.

 
RM10,000 ke bawah.
Yamaha FZ 150i | 150cc | RM8,500
Demak Skyline | 200cc | RM7,500
Kawasaki KLX150 | 150cc | RM9,500

Edit (Mac 2016):
Naza N5 250cc boleh didapati pada harga bawah RM10,000 sekarang. Penulis ada nukilkan perbandingan antara Naza N5 dan FZ150i di sini.

Yamaha FZ150i dan Demak Skyline
Model-model terpakai berikut agak popular pada segmen harga ini:
Honda CBR 150R | Kawasaki Ninja 250 | Honda CBR 250 | Naza Blade 250

Dalam segmen ini Yamaha FZ 150i menjadi pilihan disebabkan faktor penggunaan bahan api yang efisien dengan adanya sistem suntikan bahan api. Pengalaman peribadi penulis, motorsikal ini mampu berkendara sejauh 320km dengan 8liter petrol (RM18, 2.10/ltr) dan disebabkan penulis hanya mengisi minyak di hujung minggu, layak mendapat rebate 5% apabila menggunakan kad kredit.

RM11,000 ke RM16,000
Naza N5 | 250cc | RM13, 000
Naza Blade 250R | 250cc | RM15,000 (terdapat juga versi naked)
KTM Duke 200 | 200cc | RM14,500 (non ABS)
KTM Duke 250 | 250cc | RM18,000 (versi ABS sahaja)
Kawasaki z250SL | 250cc | RM15,000

KTM Duke 200
Pada segmen harga ini kebanyakan motorsikal yang ditawarkan adalah dari model naked, kecuali Naza Blade dan motorsikal terpakai dari model ber-fairing. KTM Duke 200 agak popular di kalangan eksekutif muda disebabkan penampilannya yang unik - di samping faktor jenama KTM yang berasal dari Austria.



RM16,000 ke RM25,000
Kawasaki Ninja 250SL | 250cc | RM16,300 (versi fairing kepada z250SL)
KTM Duke 200 ABS | 200cc | RM16,000
KTM RC200 | 200cc | RM17,000 (versi fairing kepada Duke 200)
KTM RC250 | 250cc | RM19, 500 (versi ABS sahaja)
Yamaha YZF-R25 | 250cc | RM19,000 RM21,000
Kawasaki z250 | 250cc | RM20,000
Naza Blade 650R | 650cc | RM20,000
Kawasaki Ninja 250 | 250cc | RM22,000
Honda CBR250R | 250cc | RM22,000
Honda CBR250RR (harapnya Boon Siew Honda bawa masuk ke pasaran tempatan)

Untuk segmen ini pula, kebanyakan motorsikal yang ditawarkan adalah dari jenis ber-fairing kecuali sedikit motorsikal naked kelas 'premium' dan Naza Blade 650R  yang memerlukan penunggang berlesen B penuh (lesen B2 terhad kepada motorsikal berkapasiti enjin 250cc ke bawah). Antara sportbike dalam kelas ini yang begitu popular ialah Yamaha R25 dan Kawasaki Ninja 250R - dan populariti ini penting kerana turut membantu dalam memberikan harga yang lebih kompetitif di samping alat ganti mudah tersedia lantas memberikan sedikit ketenangan jiwa andai ada perkara yang tidak diingini terjadi (seperti kemalangan, dsb)

Kawasaki Vulcan S650. Memang cun.
Jika ingin membeli motorsikal terpakai atau bajet mencapai RM30,000, penulis syorkan Kawasaki Versys 650 atau Kawasaki Vulcan S650 kerana kedua-dua ini mempunyai gaya atau karektor yang sesuai dengan mereka yang bekerjaya dan berpangkat tinggi di samping kemudahan alat ganti disebabkan populariti jenama Kawasaki. Benelli TnT 600 antara motorsikal yang semakin popular bagi penunggang di Malaysia tapi disebabkan faktor jenama yang masih baru dan faktor reliabliti dan keberadaan alat ganti, penulis syorkan kepada bakal pembeli supaya membuat rujukan dengan pengguna sedia ada. Apa-apa pun di sini, tepuk poket tanya bajet.

ADVERTORIAL


Secara peribadi penulis berpendapat tunggangan dalam bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur lebih sesuai bagi motorsikal yang mempunyai kuasa yang sederhana serta bentuk tubuh yang ramping dan ringan seperti KTM Duke 200 atau Kawasaki z250SL. Disebabkan karekteristik kedua-dua motorsikal ini mengutamakan torque atau dalam kata lain 'pick up' memudahkan kuasa disampaikan setiap kali pendikit dipulas lantas memudahkan tugas memotong kenderaan lain. Motorsikal seperti FZ150i dan Skyline 200 amat sesuai bagi mereka yang mementingkan bajet dan penjimatan cuma kekurangan bagi perjalanan yang melibatkan lebuh raya, walaubagaimanapun dengan kelajuan tunggangan selesa 110kmj-120kmj berbaloi dengan harga dan maintenance mereka yang agak rendah.

Gambar kenangan bersama Suzuki Shogun SP, konvoi MotoGP  '10 anjuran peminat Suzuki
Jenis Kapchai/Moped

+ Penggunaan bahan bakar yang ekonomi, terutamanya bagi model baru yang rata-rata sudah menggunakan sistem pancitan minyak (fuel injection - FI)
+ Kebanyakkan didatangkan dengan transmisi klac automatik dan rotary gear, memudahkan pengendalian dan penukaran gear bagi penunggang baru
+ Saiz yang sedikit kecil dan ramping memudahkan pengendalian jarak dekat, terutamanya dalam bandar
+ Rata-rata boleh dipasangkan raga/bakul. Ada sesetengah model didatangkan dengan ruang simpanan bawah pelana yang besar dan ada yang boleh memuatkan sebiji topi keledar.
+ Kos penjagaan yang rendah

-  Saiz tangki yang kecil, iaitu 4 liter menghadkan jarak perjalanan ke sekitar 100km lantas perlu kerap ke stesyen minyak.
-  Saiz yang kecil membuatkan ia mudah ditampar angin, agak tidak selesa untuk penggunaan di lebuh raya
-  Sinonim kapchai dengan mat rempit mungkin membuatkan anda dipandang rendah oleh rakan sekerja (subjektif)

Rata-rata mereka yang memilih kapchai adalah yang mementingkan bajet dan ruang simpanan. Dengan harga sekitar RM4,000 hingga RM6,500, boleh dikira mampu milik bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Disebabkan saiz mereka yang agak kecil dan ringan, mudah ditunggang oleh pelbagai peringkat umur, baik mereka yang di bangku sekolah rendah atau yang sudah bergelar atuk. Kekurangan bagi kapchai ini adalah disebabkan saiz tangki minyak yang kecil, menyebabkan penunggang perlu kerap ke stesyen minyak dan mudah kehabisan minyak di tengah jalan.

Antara model yang begitu popular adalah Yamaha LC135 yang didatangkan dengan 2 versi, Super Sport yang mempunyai 4 kelajuan dan klac automatik, Extreme Spirit yang menggunakan klac manual dan transmisi 5 kelajuan. Perbezaan jika menggunakan klac manual ialah pemindahan kuasa yang lebih lancar, ini boleh dirasakan apabila menukar gear semasa dalam kesesakan lalu lintas dan rata-rata penunggang bersetuju klac manual memberikan pikap yang lebih.

Suzuki Belang R150. Di Indonesia design seperti ini dipanggil 'ayago', singkatan kepada 'ayam jagoan'.
Untuk yang menginginkan lebih kuasa, Suzuki Belang R150 menjadi pilihan. Hanya didatangkan dengan pilihan klac manual, motorsikal ini dilengkapi dengan transmisi 6 kelajuan, drive mode switch, oil cooling, twin cam (DOHC) system dan meter digital dikira agak canggih. Cuma kekurangan dari segi rupa (walaupun penulis rasakan Belang ini agak cantik) dan saiz raga yang boleh dimuatkan. Kedua-dua motorsikal ini, LC135 dan Belang R150 antara yang kerap menjadi mangsa pencuri jadi pada bakal pemilik harap sediakan langkah keselamatan yang mengcukupi.
*nota kaki : akan di-update untuk perbandingan dengan Yamaha Y15ZR

Model baru Honda EX5 Fi

Bagi mereka yang pentingkan ekonomi dan gaya, Honda Ex5 masih ditawarkan dengan wajah yang diperbaharui di samping Yamaha Lagenda dan Suzuki Smash yang kini didatangkan dengan sistem suntikan bahan api (model Fi). Untuk yang memerlukan ruang simpanan lebih besar, boleh cuba Honda Future yang menyediakan ruang simpanan bawah pelana yang cukup besar hingga mampu menyimpan sebuah helmet fullface. Bagi yang inginkan prestasi dan gaya, terdapat pilihan seperti Suzuki Shogun Axelo yang didatangkan dengan versi klac manual tetapi hanya 4 kelajuan dan Honda Wave Dash yang berpenampilan ranggi dengan corak ala motorsikal berkuasa tinggi.

Wak Doyok, ikon fesyen MOD dengan Vespa Primavera


Jenis Skuter

+ Menggunakan transmisi automatik, amat mudah dikendalikan oleh penuggang kurang mahir
+ Rata-rata mempunyai pikap yang lebih tinggi pada kelajuan rendah jika dibandingkan dengan kapchai yang mempunyai kapasiti enjin yang sama
+ Kebiasaannya didatangkan dengan ruang simpanan bawah pelana yang agak besar maka tak perlu menggunakan raga/bakul justru mudah dinaiki oleh gadis-gadis yang memakai kain/skirt atau pak-pak lebai yang berkain sarung/jubah.

-  Maintenance yang lebih sedikit daripada kapchai disebabkan penggunaan transmisi automatik.
-  Kelajuan maksima yang lebih rendah jika dibanding dengan kapchai berkapasiti enjin yang sama

Suzuki VS125, ikon skuter terdahulu

Skuter pernah menjadi begitu popular sekitar 5-7 tahun yang lepas tetapi atas faktor-faktor yang tidak dapat dikenal-pasti, mereka semakin ditenggelami zaman. Yang masih popular sekarang ini, Yamaha Nouvo LC dan Yamaha Ego LC yang mana boleh dikatakan kacukan kapchai disebabkan penggunaan saiz roda mereka yang lebih besar, 16" dan 14" jika dibanding dengan 12" dan 10" pada skuter lain.
Antara skuter yang cukup popular buat masa ini, Vespa Primavera 150 dan Honda PCX 150 menjadi pilihan mereka yang pentingkan gaya dengan harga yang ditawarkan sekitar RM12,000.

SYM VTS200
Pada masa ini juga penggunaan skuter berkuasa tinggi a.k.a Skuter Maxi agak popular terutamanya daripada jenama SYM.
Berikut merupakan kelebihan dan kekurangan untuk skuter ini.

+ Saiz penghadang angin yang tinggi mengurangkan tamparan angin di samping penunggang masih mengekalkan posisi tunggangan tegak
+ Amat stabil semasa kelajuan tinggi di lebuh raya (kelajuan 140kmj-160kmj mudah dicapai oleh skuter ini)
+ Ruang simpanan lebih banyak dan lebih besar, biasanya didatangkan dengan glove box dan ruang bawah pelana yang sungguh besar boleh dimuatkan budak berumur 3-4 tahun.
+ Amat selesa untuk tunggangan bersama pembonceng

-  Harga dan kos penjagaan yang lebih tinggi
-  Saiz yang besar menyukarkan pengendalian dalam bandar, seperti menunggang sportsbike ber-fairing cuma masih mengekalkan posisi tegak
-  Kurang selesa untuk pembonceng memanjat ke pelana belakang yang tinggi.

MaxSYM 400i di jalanan
Didatangkan dengan kapasiti enjin bermula dari 200cc, boleh dikatakan skuter-skuter ini cukup berkuasa untuk menempuh perjalanan di lebuh raya. Pengalaman peribadi penulis menggunakan SYM VTS200, skuter ini mampu mencapai kelajuan 140kmj dengan selesa dibantu oleh penghadang angin yang tinggi mengurangkan kesan tamparan angin. Disebabkan saiz skuter ini yang besar dan atas faktor aerodinamik, ia dirasakan lebih stabil semasa ditunggang di lebuh raya dan memotong kenderaan besar seperti lori. Skuter ini amat sesuai ditunggang bagi mereka yang dewasa dan berkeluarga manakala kelihatan janggal apabila ditunggang oleh mereka yang bersaiz kecil. Bagi yang inginkan lebih kuasa dan mempunyai lesen B penuh, SYM turut menawarkan MaxSYM 400i pada harga Rm26,000.


Dapat kita lihat, cukup banyak pilihan bagi kita pengguna dalam memilih motorsikal yang bersesuaian bagi tunggangan harian ke pejabat. Apa-apa pun, motorsikal-motorsikal ini hanya alat dan bergantung kepada kita bagaimana mahu menunggangnya. Amalkan tunggangan yang selamat dan patuh pada undang-undang jalan raya. Sekian, harap penulisan kali ini dapat dimanfaat seadanya dan jika ada kesilapan fakta atau cadangan boleh disalurkan di ruangan komen di bawah.



Disclaimer : Model dan jenama yang dinyatakan dalam artikel ini hanyalah sebagai rujukan dan penulis tidak terlibat dalam mana-mana pengiklanan dan promosi. Untuk lebih info mengenai motorsikal-motorsikal ini penulis syorkan supaya sertai group-group mereka di Facebook dan dapatkan review daripada pemilik untuk maklumat lanjut.






Comments

Popular Posts